Exco Hujjah

Wednesday, January 12, 2011

Sukuk Emas "Dollar" Bukti Malaysia Peneraju Instrumen Kewangan Islam Terbesar di Dunia

Penulis : Tamingsari
Tag: Ekonomi Islam


Sekretariat Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) mengumumkan terbitan sukuk emas dalam dolar Amerika Syarikat (AS) bertempoh lima tahun oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) bernilai AS$500 juta (RM1.5 bilion).


Menurut kenyataan dikeluarkan, ia merupakan satu transaksi penting di bawah inisiatif MIFC kerana ia merupakan sukuk yang diterbitkan dalam dolar AS dan oleh sebuah institusi pembangunan multilateral di Malaysia.

''Malaysia kini merupakan peneraju global dalam terbitan sukuk, dengan mencakupi lebih 60 peratus daripada jumlah sukuk global yang terdapat di pasaran.

''Terbitan sukuk ini adalah susulan terbitan satu siri instrumen kewangan Islam emas dalam mata wang asing di bawah inisiatif MIFC sejak 18 bulan yang lalu iaitu Sukuk Petronas AS$1.5 bilion (RM4.66 bilion), sukuk kerajaan Malaysia AS$1.25 bilion (RM3.88 bilion), sukuk Nomura AS$100 juta (RM311 juta) dan sukuk Khazanah S$1.5 bilion (RM3.57 bilion,'' katanya.

Tambah kenyataan itu, penggunaan perkataan 'emas' adalah dikhususkan kepada sukuk dalam mata wang asing yang diterbitkan di Malaysia.

''Pihak-pihak antarabangsa digalakkan memanfaatkan komuniti dan infrastruktur kewangan Islam Malaysia bagi menjalankan aktiviti-aktiviti pemerolehan dana Islam.

''Malaysia menawarkan pasaran kewangan Islam yang kukuh dan cair di samping menyediakan rangka kerja kawal selia yang kondusif bagi memudahkan aktiviti tersebut,'' jelasnya.

Kewujudan permintaan terhadap instrumen Islam dalam mata wang antarabangsa oleh pelabur-pelabur Malaysia, di samping pelabur-pelabur global menambah tarikan Malaysia sebagai platform terbitan pelbagai mata wang.

Sukuk yang diterbitkan akan disenaraikan di Bursa Malaysia di bawah rejim berkecuali dan London Stock Exchange.

Bursa Malaysia berada pada kedudukan teratas dalam bursa dunia dari segi nilai penyenaraian sukuk.

Taming Sari amat yakin, penerbitan berterusan sukuk di pelbagai syarikat multiliteral, perbankan serta pelbagai lagi institisi kewangan, menampakkan lagi kebolehan Malaysia dalam mengalakkan pasaran modal dan amanah bercirikan Islam. Pelabur-pelabur yang berminat dengan sukuk kerana bebas riba akan menjadi lebih tertarik dengan pengunaan mata wang asing terutamanya Dollar.

Ini adalah salah satu bukti bahawa Malaysia sentiasa mencari keberkatan di dalam menjalankan sebarang aktiviti termasuk penerbitan instrumen-instrumen kewangan. Inilah antara strategi kerajaan bagi menarik pelbagai pelaburan asing terutama dari negara-negara Islam untuk berkerjasama dengan institusi kewangan di Malaysia.

Tambahan pula dengan adanya pelancaran Sukuk emas ini yang bersifat universal.

Wallahhualam.

Peguam Syarie Menulis: Perlindungan mangsa dera rumah tangga


by: Mohamad Isa Abd Ralip
2011/01/12

Pihak lain boleh buat aduan kes menimpa ahli keluarga, jiran atau rakan

KEGANASAN rumah tangga adalah penderaan sama ada berbentuk fizikal, mental, emosi, seksual mahupun spiritual terhadap ahli keluarga seperti isteri, suami, anak, ibu bapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah.
Umumnya, apabila menyebut keganasan, terbayang wanita iaitu isteri yang menjadi mangsa kekejaman suami tetapi hakikatnya, sesiapa saja boleh menjadi mangsa apabila ada pihak melakukan keganasan secara sengaja atau sebaliknya.
Berdasarkan kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, antara faktor yang mencetuskan keganasan rumah tangga adalah tiada keharmonian dan persefahaman selain pasangan gagal menyesuaikan diri dan wujud pihak ketiga.

Latar belakang keluarga pendera, masyarakat serta budaya juga mendorong berlaku keganasan. Selain itu, kesan penagihan dadah, alkohol, judi, masalah ekonomi, cemburu serta kurang pendidikan agama menyumbang berlaku keganasan rumah tangga ini.

Mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapat perlindungan dari Akta Keganasan Rumah Tangga, 1994 yang digubal bertujuan memberi perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Apa yang perlu dilakukan mangsa keganasan rumah tangga di tahap serius ialah mendapatkan rawatan doktor jika cedera, kemudian membuat laporan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) atau Perintah Perlindungan (PO).
IPO bertujuan menghalang pelaku mengulangi perbuatan itu dan menghalang pesalah menghasut orang lain melakukan perbuatan keganasan terhadap mangsa. IPO memberi perlindungan mangsa dalam bentuk Perintah Sampingan dan kuasa menangkap.

Namun, jika mangsa keganasan rumah tangga tidak tahan dengan perlakuan ganas pelakunya dan menderita disebabkan kelakuan aniaya suami atau isteri, mangsa boleh membuat permohonan pembubaran perkahwinan (fasakh) di Mahkamah Syariah.

Permohonan boleh dibuat atas alasan lazim iaitu menyakiti atau menjadikan kehidupan menderita disebabkan kelakuan aniaya.

Merujuk Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor, 2003 atau Enakmen Keluarga Islam Negeri Melaka, 2002, ada peruntukan bagi perempuan atau lelaki yang berkahwin mengikut hukum syarak mendapat perintah membubarkan perkahwinan kerana menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Permohonan perceraian secara fasakh bukan hanya melindungi hak isteri yang teraniaya oleh pelakuan ganas suami, malah peruntukan ini boleh diguna pakai suami untuk menuntut perceraian di mahkamah atas perlakuan ganas isterinya.

Persoalan sama ada suami menggunakan peruntukan ini untuk bercerai dengan isterinya adalah suatu persoalan fakta. Apa yang pasti, berdasarkan peruntukan itu suami boleh menuntut fasakh jika isteri melakukan keganasan terhadapnya.

Namun, tidak semua negeri memperuntukkan suami boleh menuntut perceraian secara fasakh jika menjadi mangsa penderaan seperti Akta Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Mahkamah Syariah tidak terus membenarkan suatu tuntutan fasakh kerana mahkamah perlu mendengar keterangan pihak termasuk saksi serta meneliti dokumen berkaitan bagi menyokong tuntutan pemohon seperti laporan polis, perubatan, gambar serta dokumen berkaitan lain.

Setelah mahkamah berpuas hati dengan bukti dikemukakan baru mahkamah boleh membubarkan perkahwinan itu.

Keganasan rumah tangga memang berlaku tetapi masih banyak kes penderaan yang tidak dilaporkan berkemungkinan disebabkan kurangnya pendedahan atau wanita itu tiada kesedaran mengenai hak mereka selaku isteri daripada aspek agama serta undang-undang.

Ada yang beranggapan mereka perlu menuruti segala kehendak suami dan merelakan apa saja dilakukan suami terhadap mereka sama ada baik mahupun buruk. Selain itu, wujudnya perasaan takut kehilangan tempat bergantung jika perkara itu diadukan.

Selain itu, bagi mangsa yang mempunyai anak akan memikirkan nasib anak jika berlaku perceraian. Justeru, mangsa selalu akan mengambil tindakan berdiam diri dan bertahan sehingga anak boleh berdikari atau dewasa. Kebanyakan mangsa di kalangan wanita berasa malu untuk membuat aduan mengenai kepincangan keluarga sendiri. Mereka juga memikirkan maruah yang akan tercemar jika perkara itu diketahui umum.

Wanita yang menjadi mangsa juga sering kali termakan pujuk rayu suami lebih-lebih lagi jika pasangan berjanji untuk berubah sikap dan mangsa menantikan perubahan itu walhal sedar atau tidak keganasan rumah tangga sudah berlarutan dan semakin teruk dari tahun ke tahun.

Oleh itu, pendedahan berkenaan undang-undang keganasan rumah tangga perlu diperjelaskan kepada masyarakat dengan cara lebih berkesan. Adalah perlu difahami bahawa aduan tidak semestinya dilakukan oleh mangsa kerana pihak lain boleh mengadu mengenai kes keganasan rumah tangga menimpa ahli keluarga, saudara, jiran atau rakan mereka.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

INFO: Keganasan rumah tangga

# Mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapat perlindungan dari Akta Keganasan Rumah Tangga, 1994 yang digubal bertujuan memberi perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

# Mendapatkan rawatan doktor jika cedera, kemudian membuat laporan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) atau Perintah Perlindungan (PO).

# Sekiranya mangsa keganasan rumah tangga tidak tahan dengan perlakuan ganas pelakunya dan menderita disebabkan kelakuan aniaya suami atau isteri, mangsa boleh membuat permohonan pembubaran perkahwinan (fasakh) di Mahkamah Syariah.

Pemindahan Organ Khinzir Kepada Manusia

http://www.drhayei.com/2010/08/isu-isu-syariah.html

SOALAN

Apa pandangan Ustaz tentang pendermaan organ dan adakah masyarakat di Malaysia yang beragama Islam boleh mengamalkannya. Adakah ianya bertentangan ajaran Islam. Apakah akibatnya seseorang muslim menderma organnya kepada orang bukan muslim dan sebaliknya. Bolehkah pendermaan organ ini melibatkan organ khinzir kerana didapati organ khinzir lebih dekat persamaannya dengan organ manusia.

- Abdul Qahhar AW

JAWAPAN
Saudara Abdul Qahhar, Saya tidak mempunyai pandangan khusus dalam perkara ini, tetapi saya boleh jawab di sini patwa-fatwa yang say abaca dari beberapa lamanweb yang dikendalikan oleh beberapa ulama pada peringkat antara bangsa. Apa yang saya baca dan fgaham ialah pendermaan organ antara masalah masa kini yang memerlukan ijtihad dari para ulama dan pakar-pakar perubatan Islam. Sepanjang yang saya ketahui, ulama silam belum membincang masalah ini secara lanjut dan terperinci, kerana kes-kes pendermaan organ tidak berlaku pada zaman mereka. Bagaimanapun beberapa tokoh ulama semasa, seperti Dr. Ahmad al-Syarbasi, Syeikh Mutawalli al-Sya`rawi, Dr al-Qaradawi dan lain-lain pernah mengutarakan pendapat peribadi masing-masing. Saya cuba menelaah dan mengutip pandangan-pandangan mereka yang saya anggap bernas dan positif.

Pada dasarnya insan dicipta Allah supaya hidup bahagia, sihat, tidak menderita kesusahan dan keperitan. Jika badan ditimpa sakit, hendaklah dicari ubatnya, jika hidup susah hendaklah dicari jalan-jalan membahagiakannya.

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ [البقرة:158]

Terjemahan: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan tidak menghendaki kamu beroleh kesusahan (al-Baqarah: 185).

Pendermaan organ dan transplant anggota manusia pada manusia, adalah antara usaha dan langkah yang diambil para doktor bagi memulihkan kesihatan dan kekuatan kepada badan pesakit. Tujuan ini memang serasi dan tidak bertentangan kaedah-kaedah umum dalam Islam.

Menurut Dr al-Syarbasi: Ramai ulama berpendapat, jika pesakit itu memerlukan darah untuk meneruskan hayatnya, maka harus memindahkan darah daripada badan orang yang sihat kepada badan pesakit yang memerlukannya. Ulama juga mengharuskan pemindahan mata daripada insan yang sudah mati kepada yang masih hidup, jika pemindahan sangat diperlukan. (Yasalunak fi al-Din wa al-Hayat, 1/602)

Bagaimanapun, pemindahan itu tidak harus dilakukan sewenang-wenangnya, ia diharuskan hanya apabila keadaan sangat terdesak dan tiada lagi jalan lain yang boleh menyelamatkan hidup di samping syarat-syarat lain, antaranya penderma hendaklah dipastikan kematiannya terlebih dahulu, cukup keserasian antara anggota penderma dan penerima, diyakini atau sekurang-kurangnya sangkaan berat terhadap kejayaan pemindahan dan hendaklah melalui nasihat doktor pakar dalam bidang berkenaan.

Perlu diambil perhatian, keharusan yang diberi hanya apabila keadaan benar-benar terdesak atau darurat seperti yang ditakrifkan dalam kaedah Usul al-Fiqh. Ini bermakna pesakit tidak boleh mengguna lebih daripada kadar yang diperlukannya. Keadaannya sama dengan seorang yang terpaksa mengambil makanan yang haram dimakan, ia tidak harus mengambil lebih daripada keperluan bagi meneruskan hayatnya sahaja.

Pendermaan organ orang Islam kepada bukan Islam atau sebaliknya, tidak ada apa yang harus diragui, kerana organ-organ itu tidak boleh disifatkan sama ada muslim atau bukan muslim. Organ hanya bagaikan alat yang sama ada baik atau buruk bergantung sepenuhnya pada pengguna. Jika ia dipindah daripada orang kafir kepada orang Islam, dengan sendirinya menjadi anggota orang Islam yang tunduk kepada budaya dan cara hidup Islam. Organ itu akan diguna untuk salat dan ibadat kepada Allah.

Menurut Dr. al-Qaradawi: Anggota-anggota badan tidak memberi kesan kepada kekufuran atau keislaman seseorang, malah al-Qalb (hati) yang pernah disifat dalam al-Qur`an sebagai, sakit, sihat, hidup dan mati adalah merujuk kepada hati yang dirawat para doktor perubatan. Hati ini lain maksudnya dengan al-Qalb yang disifatkan sebagai beriman dan kufur, yang lebih memihak kepada aspek kerohanian yang menjadikan manusia samada sedar, berakal, berfikir atau sebaliknya (Fatawa Mu`sirah, 2/538).

Bagaimanapun derma kepada kafir harbi (yang tidak diikat sebarang perjanjian damai antara mereka dengan orang Islam) dan yang dipercayai hidupnya memusuhi Islam dan masyarakatnya, ulama berpendapat, organ tidak harus diderma kepada mereka. Bagaimana pendermaan harus diberi kepada mereka, sedangkan jika ia hidup sihat, akan digunakan tenaganya bagi mengkhianati Islam, sebagaimana pedang tidak harus dijual kepada bukan Islam yang dipercayai akan digunakan bagi memerangi umat Islam.

Tentang penggunaan atau pemindahan organ haiwan kepada badan manusia, seperti khinzir yang dihukum najis oleh al-Qur`an, kalaupun ia boleh dilakukan, maka hanya ketika terpaksa dan darurat sahaja, dengan kadar yang sangat terhad.

Al-Qur`an menyebut perkataan khinzir pada beberapa tempat. Iaitu dalam surah al-Baqarah, ayat 173, al-An`am, ayat 145 dan al-Nahl, ayat 115. Semuanya menyebut lahm al-khinzir (daging babi). Menurut Fuqaha`, daging yang dimaksudkan itu, meliputi seluruh badan dan juzuk-juzuk khinzir, tanpa kecuali. Namun begitu, ayat-ayat itu disebut khusus kepada makan, sedangkan yang dibicarakan di sini bukan makan tetapi mengguna, mengambil faedah atau transplant menurut istilah dalam perubatan moden.

Ulama semasa lebih cenderung berpendapat harus mengambil faedah daripada organ khinzir itu, kerana najis itu jika tertanggung pada luar badan, tetapi jika ia ditanam dalam badan manusia, maka lain pertimbangannya. Ini kerana dalam badan manusia memang banyak najis yang sedia ada, seperti tahi, darah dan sebagainya, walaupun begitu, tiada halangan bagi seseorang bersalat, membaca al-Qur`an, tawaf dan sebagainya, kerana najis itu ada dalam badan.

Dalam sebuah hadis Sahih meriwayatkan, Nabi saw menyuruh agar kulit bangkai kambing itu dimanfaatkan, setelah disamak bersih, walaupun diberitahu baginda bahawa kambing itu sudah menjadi bangkai, namun nabi tetap menyatakan, bangkai itu hanya haram dimakan, tetapi kulitnya boleh dimanfaatkan setelah disamak. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakah. Muslim, Kitab al-Haid)

Sebagai kesimpulan jawapan kepada soalan di atas, pemindahan anggota manusia boleh dilakukan, jika ada sebab dan keperluan yang mendesak, sama ada pemindahan sesama Islam atau kepada bukan Islam yang hidupnya tidak mengancam Islam dan masyarakatnya. Demikian juga dengan organ khinzir, ia harus dimanfaatjkkan, jika tiada lagi jalan lain bagi menyelamatkan hayat seseorang pesakit. Wallahu A`lam.