Exco Hujjah

Wednesday, January 12, 2011

Peguam Syarie Menulis: Perlindungan mangsa dera rumah tangga


by: Mohamad Isa Abd Ralip
2011/01/12

Pihak lain boleh buat aduan kes menimpa ahli keluarga, jiran atau rakan

KEGANASAN rumah tangga adalah penderaan sama ada berbentuk fizikal, mental, emosi, seksual mahupun spiritual terhadap ahli keluarga seperti isteri, suami, anak, ibu bapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah.
Umumnya, apabila menyebut keganasan, terbayang wanita iaitu isteri yang menjadi mangsa kekejaman suami tetapi hakikatnya, sesiapa saja boleh menjadi mangsa apabila ada pihak melakukan keganasan secara sengaja atau sebaliknya.
Berdasarkan kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, antara faktor yang mencetuskan keganasan rumah tangga adalah tiada keharmonian dan persefahaman selain pasangan gagal menyesuaikan diri dan wujud pihak ketiga.

Latar belakang keluarga pendera, masyarakat serta budaya juga mendorong berlaku keganasan. Selain itu, kesan penagihan dadah, alkohol, judi, masalah ekonomi, cemburu serta kurang pendidikan agama menyumbang berlaku keganasan rumah tangga ini.

Mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapat perlindungan dari Akta Keganasan Rumah Tangga, 1994 yang digubal bertujuan memberi perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Apa yang perlu dilakukan mangsa keganasan rumah tangga di tahap serius ialah mendapatkan rawatan doktor jika cedera, kemudian membuat laporan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) atau Perintah Perlindungan (PO).
IPO bertujuan menghalang pelaku mengulangi perbuatan itu dan menghalang pesalah menghasut orang lain melakukan perbuatan keganasan terhadap mangsa. IPO memberi perlindungan mangsa dalam bentuk Perintah Sampingan dan kuasa menangkap.

Namun, jika mangsa keganasan rumah tangga tidak tahan dengan perlakuan ganas pelakunya dan menderita disebabkan kelakuan aniaya suami atau isteri, mangsa boleh membuat permohonan pembubaran perkahwinan (fasakh) di Mahkamah Syariah.

Permohonan boleh dibuat atas alasan lazim iaitu menyakiti atau menjadikan kehidupan menderita disebabkan kelakuan aniaya.

Merujuk Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor, 2003 atau Enakmen Keluarga Islam Negeri Melaka, 2002, ada peruntukan bagi perempuan atau lelaki yang berkahwin mengikut hukum syarak mendapat perintah membubarkan perkahwinan kerana menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Permohonan perceraian secara fasakh bukan hanya melindungi hak isteri yang teraniaya oleh pelakuan ganas suami, malah peruntukan ini boleh diguna pakai suami untuk menuntut perceraian di mahkamah atas perlakuan ganas isterinya.

Persoalan sama ada suami menggunakan peruntukan ini untuk bercerai dengan isterinya adalah suatu persoalan fakta. Apa yang pasti, berdasarkan peruntukan itu suami boleh menuntut fasakh jika isteri melakukan keganasan terhadapnya.

Namun, tidak semua negeri memperuntukkan suami boleh menuntut perceraian secara fasakh jika menjadi mangsa penderaan seperti Akta Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Mahkamah Syariah tidak terus membenarkan suatu tuntutan fasakh kerana mahkamah perlu mendengar keterangan pihak termasuk saksi serta meneliti dokumen berkaitan bagi menyokong tuntutan pemohon seperti laporan polis, perubatan, gambar serta dokumen berkaitan lain.

Setelah mahkamah berpuas hati dengan bukti dikemukakan baru mahkamah boleh membubarkan perkahwinan itu.

Keganasan rumah tangga memang berlaku tetapi masih banyak kes penderaan yang tidak dilaporkan berkemungkinan disebabkan kurangnya pendedahan atau wanita itu tiada kesedaran mengenai hak mereka selaku isteri daripada aspek agama serta undang-undang.

Ada yang beranggapan mereka perlu menuruti segala kehendak suami dan merelakan apa saja dilakukan suami terhadap mereka sama ada baik mahupun buruk. Selain itu, wujudnya perasaan takut kehilangan tempat bergantung jika perkara itu diadukan.

Selain itu, bagi mangsa yang mempunyai anak akan memikirkan nasib anak jika berlaku perceraian. Justeru, mangsa selalu akan mengambil tindakan berdiam diri dan bertahan sehingga anak boleh berdikari atau dewasa. Kebanyakan mangsa di kalangan wanita berasa malu untuk membuat aduan mengenai kepincangan keluarga sendiri. Mereka juga memikirkan maruah yang akan tercemar jika perkara itu diketahui umum.

Wanita yang menjadi mangsa juga sering kali termakan pujuk rayu suami lebih-lebih lagi jika pasangan berjanji untuk berubah sikap dan mangsa menantikan perubahan itu walhal sedar atau tidak keganasan rumah tangga sudah berlarutan dan semakin teruk dari tahun ke tahun.

Oleh itu, pendedahan berkenaan undang-undang keganasan rumah tangga perlu diperjelaskan kepada masyarakat dengan cara lebih berkesan. Adalah perlu difahami bahawa aduan tidak semestinya dilakukan oleh mangsa kerana pihak lain boleh mengadu mengenai kes keganasan rumah tangga menimpa ahli keluarga, saudara, jiran atau rakan mereka.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

INFO: Keganasan rumah tangga

# Mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapat perlindungan dari Akta Keganasan Rumah Tangga, 1994 yang digubal bertujuan memberi perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

# Mendapatkan rawatan doktor jika cedera, kemudian membuat laporan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) atau Perintah Perlindungan (PO).

# Sekiranya mangsa keganasan rumah tangga tidak tahan dengan perlakuan ganas pelakunya dan menderita disebabkan kelakuan aniaya suami atau isteri, mangsa boleh membuat permohonan pembubaran perkahwinan (fasakh) di Mahkamah Syariah.

0 comments:

Post a Comment