Exco Hujjah

Monday, September 27, 2010

PENTADBIRAN HARTA PUSAKA TANPA WASIAT

Apabila berlaku kematian, pelbagai aktiviti terhenti secara tiba-tiba, antaranya pembekuan akaun-akaun di bank, unit amanah saham, saham-saham syarikat, perlindungan insuran, takaful, Tabung Haji, urusan hartanah tergendala, penjualan kereta tidak boleh dilakukan, termasuk timbulnya persoalan bila pengeluaran KWSP boleh dilakukan. Hanya apabila Surat Kuasa (Letter of Administration) diperolehi daripada badan-badan tertentu, barulah proses pembahagian asset dapat dilakukan. Untuk mendapat Surat Kuasa tadi, ia adalah satu proses yang rumit dan memakan masa yang agak lama (antara 1 – 2 tahun). Ini tidak termasuk masa untuk pembahagian yang bergantung kepada bentuk harta (antara 1 - 15 tahun lagi). Sekiranya tiada wasiat, proses permohonan dan pembahagian membawa kepada pelbagai akibat dan boleh menggendalakan pelbagai urusan waris yang hidup.

Di Malaysia, tempat permohonan untuk mendapat Surat Kuasa bergantung kepada bentuk dan jumlah aset simati iaitu:

Amanah Raya Berhad: Untuk jumlah aset yang kurang dari RM600,000 DAN bentuk aset simati sama sekali tiada mengandungi hartanah (Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995); atau

Pejabat Tanah Bahagian Pusaka Kecil: Untuk jumlah aset yang kurang dari RM600,000 dan aset simati mengandungi hartanah (Akta Pembahagian Harta Pusaka Kecil 1955); atau

Mahkamah Tinggi: Untuk semua bentuk aset di mana nilainya melebihi RM600,000 (Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980).

Mahkamah Syariah: Untuk orang Islam sahaja iaitu di mana Sijil Faraid dikeluarkan dahulu dan dikepilkan bersama semua permohonan di atas.

Di dalam proses meluluskan permohonan untuk mendapatkan Surat Kuasa kepada pentadbir aset simati, Mahkamah Tinggi akan meminta dikemukakan dua orang penjamin yang setiap seorang mempunyai nilai aset bersamaan dengan nilai aset simati. Setelah memperolehi Surat Kuasa, tugas pentadbir yang seterusnya ialah untuk mentadbir (jual aset sekiranya perlu) dan membahagikan aset-aset simati. Jumlah masa menguruskannya bergantung kepada bentuk harta dan kerjasama waris-waris.

Untuk orang bukan Islam, pembahagian adalah mengikut Akta Pembahagian 1959 di mana telah ditentukan menurut undang-undang sivil. Bagi orang Islam, pembahagian adalah mengikut hukum syarak iaitu menurut hukum Faraid, tetapi sekiranya semua waris yang layak bersepakat atau bermuafakat maka pembahagian boleh mengikut persetujuan bersama.

0 comments:

Post a Comment