Exco Hujjah

Monday, September 27, 2010




Sekiranya wasiat telah dibuat oleh simati maka proses pentadbiran adalah lebih pantas di mana Geran Probet akan terus diberikan oleh Mahkamah Tinggi. Ini adalah mengikut Akta Probet dan Surat Pentadbiran Pusaka 1959 yang terpakai untuk semua orang, tidak kira Islam atau tidak. Permohonan Geran Probet boleh dipohon oleh wasi yang dinamakan di dalam wasiat simati (pewasiat). Di dalam permohonan ini, Mahkamah tidak memerlukan sebarang penjamin lagi.

Bagi wasiat orang Islam ianya adalah mengikut hukum syarak. Setakat ini, hanya Selangor dan Negeri Sembilan sahaja yang mempunyai enakmen mengenai wasiat untuk umat Islam iaitu Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 dan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004. Walaupun begitu, format wasiat Islam ini secara umumnya diterima pakai di negeri-negeri lain di Malaysia.

Menurut prinsip Wasiat Islam, pembahagian sehingga 1/3 daripada aset bersih simati boleh diwasiatkan kepada bukan waris atau waris yang terdinding, dan bakinya hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid atau melalui permuafakatan semua waris mengikut seperti pesanan pewasiat. Dengan wasiat yang disediakan, pentadbir yang dinamakan hanya perlu memperolehi Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah dan menyertakannya bersama dokumen lain seperti surat mati dan wasiat kepada mahkamah untuk diberikan Geran Probet dan membolehkan pembahagian diteruskan. Tempoh penyelesaian adalah lebih cepat antara 6 bulan ke setahun berbanding tanpa sebarang wasiat.

0 comments:

Post a Comment